Jiddiyyah tanpa ta'ruf dan thiqah akan menyebabkan jiddiyah itu tidak bertahan lama dan akan menurun. Oleh itu letakkanlah keyakinan dan kepercayaan kepada sahabat-sahabat...Hendaklah kita melahirkan ukhuwwah dan ta'ruf dalam erti kata sebenar. Hasan Al Banna meletakkan at Ta'ruf sebagai rukun usrah yang pertama. Kita perlu benar-benar berta'ruf hingga lahir kasih sayang dengan roh Allah S.W.T. atau dengan keimanan. Rasailah sungguh-sungguh erti ukhuwwah. Elakkan daripada apa jua keadaan yang boleh mengeruhkan kejernihan hubungan antara sahabat-sahabat. Sentiasalah mengamalkan ayat-ayat Allah S.W.T. dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. dalam konteks ukhuwwah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:" Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk".(Surah Ali Imran : 103)

Berpecah belah bererti ikhwanus-syayaathin. Berpecah belah itu daripada syaithan. Janganlah mendekati kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ukhuwwah sesama kita. Kalau ada rasa sesuatu yang menjejaskan ukhuwwah, maka kita kenalilah bahawa itu adalah bisikan syaithan. Syaithan sedang cuba masuk mengacau dan memecah belahkan perpaduan dan ukhuwwah. Kita fahami akan ayat Allah S.W.T. yang bermaksud :"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. “( Surah Al Hujurat : 10)

Rasulullah S.A.W. bersabda :(Bermaksud): Seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan satu bangunan,sebahagiannya mengukuhkan bahagian yang lain,Bukanlah ukhwah itu sebagai slogan sahaja,yang diperkatakan tanpa terlaksana dalam realiti hidup. Hasan Al Banna ada menegaskan bahawa terdapat jurang yang jauh di antara hakikat ukhuwwah yang ada pada sahabat-sahabat Rasulullah dengan generasi-generasi yang lain. Walaupun sedemikian, kita tetap berusaha agar hakikat ukhuwwah yang lahir dalam generasi pertama itu dapat menjadi kenyataan dalam realiti kini.

Hassan Al Banna meletakkan ukhuwwah sebagai salah satu daripada rukun bai'ah. Menurut Hasan Al Banna yang dimaksudkan dengan ukhuwwah ialah ikatan hati dan roh yang diikatkan dengan ikatan aqidah. Aqidahlah satu-satunya ikatan yang paling kukuh dan paling bermutu. Ukhuwwah yang sebenarnya ialah ukhuwwah iman. "Hanyasanya orang mukmin itu bersaudara". Hakikat ini perlulah lahir betul-betul. Dan pecah belah adalah saudara kepada kekufuran. Ukhuwwah iman inilah akan lahir kekuatan wehdah atau kekuatan penyatuan. Tiada wehdah tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling minima wujud dengan adanya salamatul sadr. Kasih sayang maksima ialah dengan mengutamakan sahabat.

Barang siapa yang dapat mengelakkan kebakhilan diri atau mementingkan diri, maka merekalah orang-orang yang berjaya. Amilin yang sebenarnya akan melihat saudaranya lebih penting daripada dirinya sendiri. Padanya, kiranya dia tidak bersama rakan-rakan seperjuangannya maka dia tidak boleh bersama-sama dengan orang lain. Tidak seharusnya ada sekatan atau penghalang dalam hubungan antara para amilin amal Islami. Kita bersatu tidak ada kepentingan lain kecuali kepentingan Islam, lillah fillah. Kita bekerjasama kerana matlamat yang sama dan berdasarkan aqidah yang sama. Persahabatan sebegini bersih. Jangan kita kotorkan ia, demi mengejar matlamat mardhatillah....