Beberapa kaedah 'mengetuk pintu rakyat' dengan maklumat alternatif

Sejauh manakah maklumat di 'alam maya' dapat dirakyatkan?

Di samping harapan menggunung parti pembangkang untuk menerajui perubahan dan keghairahan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, terselit juga rasa seakan segalanya 'jauh panggang dari api'. Ia bukan bermaksud parti pembangkang gagal menjuarai isu ummah mahupun mengemukakan calon yang berkaliber, tetapi isunya masih berkisar kepada persoalan di atas.Iaitu sejauh mana maklumat alternatif dapat meresap di jiwa rakyat sehingga mereka yakin untuk membuat perhitungan?

Apakah kita hanya syok sendiri bila membicarakan kes pita Linggam, isu rasuah, penipuan pilihan raya, kenaikan harga minyak dan sebagainya, sedangkan rakyat bawahan hanya mengangguk berkali-kali mendengar penipuan media kerajaan?

Menunggu dan mengharapkan Pak Mat di hujung kampung berkunjung ke kafe siber melayari blog alternatif dan mencetak untuk seisi keluarganya, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba! Akhirnya pembangkang akan sekali lagi memerah otak untuk membuat post-mortem kekalahan pilihan raya.

Justeru, diperturunkan di sini beberapa saranan agar dapat diperhalusi oleh pimpinan dan aktivis Barisan Alternatif untuk tindakan segera:

1. Penubuhan team siber ala Cyber Trooper Pemuda Umno

Skuad khas di peringkat pusat ini wajar dibentuk dari golongan muda (yang boleh berkhidmat bukan sekadar saat menghadapi pilihan raya, bahkan sepanjang masa) yang ditugaskan mengumpulkan maklumat alternatif yang bersesuaian seterusnya memurnikannya dalam bentuk risalah yang sedia untuk dicetak secara berkala.Skuad ini tidak perlu mencetak bagi pihak kawasan mahupun cawangan. Mereka sekadar menyediakannya dalam bentuk PDF yang boleh dimuat-turun atau dicetak daripada web atau blog khas yang rasmi.Dalam erti kata lain, pimpinan Barisan Alternatif kawasan atau cawanganlah yang bertanggungjawab mencetaknya secara berkala dan maklumat tersebut adalah sama dan selari di seluruh negara!

2. Risalah masjid dan pasar malam

Sekiranya cadangan penubuhan team ala Cyber Trooper tadi diterima, maka risalah yang dihasilkan hasil himpunan maklumat puluhan blog alternatif di alam maya tadi bolehlah dijadikan risalah masjid atau bahan edaran di pasar malam (secara berkala).
Risalah ini mesti dicetak petugas parti di kawasan atau cawangan masing-masing seminggu sekali. Paling tidak pun dua minggu sekali dan diedarkan pada hari Jumaat atau di pasar malam.Jika ia berhasil, saya percaya kita akan berjaya mengetuk pintu setiap rumah dengan maklumat alternatif.

Cadangan ini walaupun nampak mudah dan remeh, namun untuk menjayakannya perlukan komitmen yang tinggi dari pelbagai pihak termasuk peringkat pimpinan setempat dan atasan.

3. Kempen SMS

Menginsafi bahawa majoriti rakyat telah menggunakan SMS sebagai alat perhubungan terkini, maka sudah sampai masanya Barisan Alternatif menggiatkan penggunaan wadah ini secara percuma kepada rakyat untuk tujuan penyebaran maklumat semasa.
Kaedah langganan SMS (secara berbayar) kurang praktikal kerana sebarannya agak terhad. Cuma cabarannya di sini ialah pengumpulan dana bagi menampung kos operasi.

Bagaimanapun diharapkan cadangan ini diperhalusi kerana saya yakin dengan maklumat yang tepat dari saluran seumpama ini, rakyat mampu membuat perubahan yang hebat!
Mungkin pihak tertinggi parti boleh mengadakan rundingan dengan syarikat telekomunikasi untuk mewujudkan perkongsian pintar. Saya percaya mereka mampu menawarkan pakej terbaik nanti.

4. Recycle akhbar alternatif, jangan disimpan di dalam almari!

Saranan ini pernah kedengaran sebelum ini. Namun saya nukilkan sekali lagi untuk tindakan segera penyokong Barisan Alternatif. Akhbar parti seperti Harakah, Suara Keadilan, dan akhbar-akhbar bebas seperti Wasilah, Siasah dan sebagainya haruslah menjadi bahan bacaan wajib seisi keluarga.Setelah habis membacanya, jangan disimpan di dalam almari, tetapi letakkannya di warong-warong kopi, masjid, bus-stop, kantin, ruang menunggu di bank, hospital dan di mana sahaja yang menjadi tumpuan awam.

Saya pernah melakukannya dan ternyata berbaloi. Pahala pun dapat, maklumat kita pun sampai kepada rakyat terbanyak.

5. Buat nota, komen dan contengan pada berita akbar kerajaan!

Bagi pembaca akhbar Utusan, Berita Harian dan pelbagai akhbar kerajaan, anda hendaklah bertindak bijak dengan menconteng ruangan berat sebelah mereka dengan komen-komen alternatif yang kreatif dan berkesan.

Contohnya: "berita palsu", "berita ampu", "nak kelentong dah", "hati-hati..anda sedang ditipu", "BN..barang naik" dan sebagainya. Akhbar tersebut kemudiannya bolehlah diletakkan juga di tempat tumpuan awam.

Sekian dulu buat tatapan semua khususnya pimpinan Barisan Alternatif dan insan prihatin. Mudah-mudahan saranan-saranan yang diberi mendapat perhatian dan respons segera dari pihak yang berkenaan.

(SUMBER :Harakahdaily Mon | Dec 31, 07 | 1:43:00 pm MYT )

3 comments:

hi,
the day of love and romance has come ,
search the most exciting quotes and images for your loved ones by visiting this link www.happyvalentinesday2016images.com


hi,
the day of love and romance has come ,
search the most exciting whatsapp quotes and images for your loved ones by visiting this link www.happyvalentinesday2016images.com.