Kesempatan berbicara dengan Allah s.w.t merupakan peluang tak ternilai dan berharga, sanggup kita biar begitu sahaja…
Rata-rata jika ditanya secara rambang, ramai di kalangan kita telah pun selesai khatam talaqqi Al-Quran pada usia yang begitu muda, alhamdulillah. Mungkin sekitar 8, 9 atau 10 tahun. Pendek kata masih di alam sekolah rendah lagi kita sudah habis bertalaqqi al quran.
Namun dalam keserasian fenomena semasa, tentu amat sukar sekali bagi kanak-kanak kecil ini memahami intipati al-quran keseluruhannya melainkan dengan bantuan terjemahan dan tafsir yang tersedia. Selaku azhari/azhariah kondisinya berbeza. Jika diberi kitab turas sekalipun insyaAllah boleh ‘interprate’ bila-bila masa. Tetapi itu bukanlah persoalan utama.
Bertalaqqi semula setelah meniti umur remaja adalah sebaik-baik cara memperbaiki diri dan memperbaiki mutu bacaan dengan cara mentashih bacaan al quran, dengan kata lainnya belajar membaca al quran secara lidah dewasa. Tiada istilah malu dan lughah segan serta rendah diri. Hadiri kelas intensif talaqqi dan tajwid bagi persediaan kita menceburkan diri di dalam masyarakat di Malaysia suatu masa nanti. ‘Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al quran dan mengajarkannya’
Saidina Ali Karamallauwajhah berkata : Nikmat itu ada 6 perkara : Islam, al quran, Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasulullah, kesihatan, tertutupnya aib dan tidak mengharapkan bantuan orang.
Justeru itu kita perlu sentiasa bersyukur memuji tahmid kepada Allah, kerana dengan nikmatNya Dia memberikan pelbagai anugerah kurnia buat kita. Ironinya letakkan sesuatu matlamat tepat pada sasarannya akan mencerminkan kebijaksaan akal dan minda kita, in sya Allah.
Seringkali kita menanggapi hifz al quran sebagai satu muqarrar yang nyata yang tidak jauh bezanya dengan maddah-maddah lain. Elakkan diri dari membaca kalamullah hanya diqasad untuk imtihan. Rutinkan diri dan lazimi membaca al Quran bagi mengharap redha Allah. Dengan membaca kalamullahul mu’jaz ini, banyak kelebihannya yang akan kita perolehi. Diceritakan bahawa fadhilat membaca al quran ada 6 :

1.Sebagai pengubat dan penawar hati

Diriwayatkan dari Ibnu Umar berkata : Rasulullah bersabda : Hati manusia itu berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula? Katanya : Banyak mengingati mati dan membaca al quran.

Maka benarlah bahawa ubat hati ada 5 perkara :

Membaca al quran dengan kefahaman, mendekati orang soleh, bangun malam untuk beribadah, mengurangkan makan dan menghadiri majlis ilmu.

2.Mendapat tempat yang mulia.

Dari Aisyah berkata, bahawasanya Rasulullah bersabda : Orang yang membaca al quran lagi mahir, kelak mendapat tempat di syurga bersama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik, dan orang yang membaca al quran tertahan-tahan dan tampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia akan mendapat dua pahala.

3.Darjat ibu bapanya terangkat.

Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang membaca al quran dan beramal dengan isi kandungannya, Allah akan memakaikan mahkota pada kedua ibu bapanya di akhirat kelak, cahayanya lebih baik dari cahaya matahari di dunia, maka apakah sangkaan kamu terhadap amalan demikian ini.

4.Rumahnya terang dan berkat.

Daripada Anas r.a : Rumah apabila dibacakan al quran di dalamnya akan hadirlah para malaikat dan syaitan-syaitan akan menjauhinya, penghuninya akan merasa terang dan senang. Banyak sekali kebaikan akan dijumpai di rumah itu dan sedikit sekali kejahatannya. Dan rumah apabila tidak dibacakan al quran di dalamnya, akan hadirlah syaitan-syaitan dan para malaikat akan menjauhinya, penghuninya akan merasa sempit dan susah, sedikit sekali kebaikan di rumah itu dan banyak sekali kejahatannya.

5.Mendatangkan syafaat.

Rasulullah bersabda : Bacalah al quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari qiamat kelak sebagai syafaat pada tuannya.

6.Dikasihi Allah dan rasulnya.


Justeru, seharusnya peluang yang nyata terkandung pelbagai ganjaran ini buat kita. Biar sesibuk mana aktiviti harian kita, jangan lupa tunaikan hak kewajipan kita terhadap al quran selaku pembakar rohani demi meneruskan mujahadah nafs. Ingatlah, tiada hari dalam hidup kita tanpa al quran.

0 comments: