Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah di atas limpah nikmatNya kepada kita, mentaqdirkan kita menjadi para pencinta ilmuNya seterusnya menjadi pemelihara terhadap kalamNya yang mulia.

Adik-adikku yang dihormati,

Manusia diciptakan Allah punya persamaan dan perbezaan. Dengan persamaan dan perbezaan itu, manusia cuba untuk saling melengkapi antara satu sama lain dengan menjalani kehidupan secara berjemaah. Berjemaah merupakan sunnatullah yang tidak boleh tidak mesti dipraktikkan walaupun dengan pelbagai wacananya. Keluarga itu jamaah, rakan-rakan sekuliah itu jamaah, para ahlulbait itu jamaah dan sahabat seusrah juga adalah jamaah. Benarlah firman Allah : Maksudnya : Dan kami tinggikan sebahagian dari mereka dengan sebahagian yang lain beberapa darjat supaya sebahagian tadi dapat menjalani kehidupan dengan bantuan sebahagian yang lain. Surah Az-zukhruf.

Sahabat yang berbahagia,

Kita selalu mengimpikan dan berazam ingin menjadi seorang hamba Allah yang terbaik di sisiNya. Tetapi, kekadang kita tidak boleh lari dari sifat culas, lalai dan futur. Di suatu fatrah tertentu, kita menjadi terlalu malas. Solat bagaikan tiada rasa manisnya, membaca al quran hanyalah ingin menyempurnakan jadual harian, lebih parah lagi terkadang dirasakan ingin membaca al quran terlalu berat. Benarkah begitu? Mengapa boleh terjadi? Jika benar sama-sama kita terimanya dengan penuh tawadhuk dan bermohonlah kepada Allah jalan keluarnya. Allah kadangkala memberikan kita sedikit ujian untuk Allah mendengar rintihan dan aduan hambaNya untuk Dia memperkenankan doa kita. Tudinglah jari pada diri sendiri. Timbulkan penyesalan demi penyesalan dan natijahnya hasilkan satu kekuatan azam untuk bangkit semula berjihad…menghafaz semula ayat demi ayat yang telah dilupakan itu. Seterusnya bertawakkallah kepada Allah.

Ukhti yang dikasihi,

Bertalaqqilah dengan bersungguh-sungguh, bertasmiklah hafazan sekurang-kurangnya bersama rakan-rakan, ulanglah hafazan dengan sepenuh hati dan ingatlah…istiqamah yang paling penting. Rencanakan waktu sebaik-baiknya. Jangan kesibukan sebagai seorang pelajar, pimpinan dalam persatuan, ibu mahupun isteri dijadikan alasan untuk meninggalkan tanggungjawab ini, kerana pastinya ia tidak boleh dijadikan hujjah di hadapan Allah kelak.

Akhirnya, sama-samalah kita berusaha untuk memelihara al quran. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kita dalam menempuh mujahadah ini. Renungilah bersama hadis baginda Rasulullah s.a.w ini : Sentiasalah kamu menjaga al quran (membacanya), maka demi Allah, yang diri Muhammad berada di tanganNya, ia (al quran) terlebih senang terlepas dari unta yang berada di dalam tambatannya.
* USRAH HAFIZAH,MESIR